Polis DiRaja Malaysia (PDRM) tidak menjalankan sebarang siasatan terhadap dakwaan berkenaan 1MDB yang dibuat oleh bekas Timbalan Ketua Cawangan Khas, Datuk Abdul Hamid Bador.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, ini kerana tiada sebarang laporan polis dibuat dibuat oleh Hamid atau mana-mana pihak setakat ini.
Timbalan Perdana Menteri berkata, polis juga telah mengeluarkan surat tunjuk sebab kepada Hamid berikutan dakwaannya mengenai ada pihak cuba menyembunyikan saksi penting dalam siasatan 1MDB.
“PDRM tidak menjalankan sebarang siasatan dan membuka kertas siasatan berkaitan perkara ini memandangkan hasil semakan tiada laporan polis dibuat oleh beliau (Hamid) atau mana-mana pihak sehingga kini.
“PDRM juga telah mengeluarkan surat tunjuk sebab untuk mendapatkan penjelasan berkaitan kenyataan yang dikeluarkan olehnya yang disiarkan dalam laman sosial,” katanya dalam jawapan bertulis di Parlimen.
Zahid menjawab pertanyaan Ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar yang meminta Menteri Dalam Negeri menyatakan apakah hasil siasatan yang telah dilakukan terhadap dakwaan yang dibuat oleh Hamid.
Hamid sebelum ini menyatakan ada pihak tertentu yang cuba menutup maklumat berkaitan serta menyembunyikan tiga saksi penting dalam siasatan kes 1MDB serta mengguna PDRM khususnya cawangan khas mencampuri dan diperalat untuk kepentingan politik pihak tertentu.
Pada masa sama, Zahid turut menjelaskan dakwaan Hamid itu hanya merupakan andaian beliau sendiri yang disiarkan di laman sosial sahaja.