Quantcast
Channel: UtaraNews
Viewing all articles
Browse latest Browse all 6004

Tiba masanya untuk Mahathir "tibai" anaknya di Kedah.

$
0
0

Semalam penulis difahamkan oleh rakan-rakan penulis di Kedah bahawa seluruh negeri itu sedang dilanda jerebu peringkat tidak sihat sehingga menyebabkan Menteri Pendidikan, Dato' Seri Mahzir Khalid mengumumkan semua sekolah di negeri berkenaan ditutup.

Semalam juga penulis difahamkan bahawa Menteri Besar Kedah, Dato' Seri Mukhriz Tun Mahathir bersama barisan para Exconya melakukan rutin menyuarat Exco Kerajaan Negeri Kedah di Wisma Darulaman.

Malah semalam juga penulis dikhabarkan tentang 4 orang Adun Barisan Nasional (BN), ditemani oleh 2 orang Adun PAS telah mendedahkan satu projek bernilai jutaan ringgit membabitkan gerakan 'cuci mangkuk', menarah habis kayu-kayu balak di Wang Perah, Bukit Prangin yang terletak di kawasan Kubang Pasu.

Rakan-rakan penulis tidak bising tentang sekolah yang ditutup atau mesyuarat Exco yang diketua Mukhriz. Namun mereka bising tentang kisah kawasan balak yang dikatakan telah diluluskan Kerajaan BN Negeri Kedah kepada sebuah syarikat yang hanya dikenali sebagai 'SSI'.

Kata rakan-rakan penulis, ketika PAS memerintah dulu, merekalah yang membongkar isu pembalakan 'cuci mangkuk' di Gunung Inas, Baling dan sekitar Hutan Simpan Pedu. Kemudian baru Mukhriz pula dengan muka 'toya' menaiki helikopter meninjau kawasan balak di Pedu.

Kata mereka, setelah mereka mencetus isu tersebut setahun sebelum PRU ke-13, maka barulah Mukhriz balik ke Kedah dan menaiki helikopter meninjau kawasan balak yang hampir licin ditebang ketika itu. Pulang untuk menjadi 'hero' dari hasil cetusan isu orang lain?

Padahal kata rakan-rakan penulis, mereka membongkar kes balak di Kedah dulu bukannya berasaskan sentimen politik pun. Sebaliknya, mereka mencetus isu itu adalah kerana memikirkan masa depan hutan-hutan simpan dan hasil bumi negeri Kedah yang dinodai oleh tangan-tangan pihak tentu untuk jalan mudah menjadi kaya.

Namun atas dasar hormat, Mukhriz diberi ruang untuk melakukan himpunan Merah di Pedu dengan mengerah ribuan penyokong bapanya dari Perkasa, terutama dari luar Kedah untuk hadir ke himpunan anjurannya. Tidak pastilah 'pakej pelancongan' apa yang mereka tawarkan ketika itu...

Setelah bersajak bagai, BN Kedah akhirnya berjaya merampas kembali negeri itu dari PAS. Itupun hasil dari kerja keras bekas Pengerusi Perhubungan Negeri Kedah, Dato' Seri Ahmad Bashah Hanipah selama 5 tahun. Namun Mukhriz jualah yang dijulang kononnya 'hero' yang merampas Kedah dari PAS?

Paling rakan-rakan penulis kesalkan ialah tindakan Mukhriz yang tidak mengotakan kata dengan memberi kelulusan kepada syarikat berkenaan untuk beroperasi meratah hutan balak di Wang Perah itu. Kata mereka, Mukhriz sebelum ini telah berjanji tidak akan berbuat demikian.

Namun lain pula yang dijawab oleh 'lalat-lalat' yang menghurung Mukhriz apabila mereka mempersoal kehadiran 4 orang Adun BN iaitu Adun Bukit Kayu Hitam, Dato' Ahmad Zaini Japar selaku 'tuan rumah', Adun Bukit Lada, Dato' Ahmad Lebai Sudin, Adun Pantai Merdeka, Ali Yahaya dan Adun Jeneri, Mahadzir Abdul Hamid, yang melawat tapak pembalakan itu.

Kononnya, keempat-empat Adun BN itu mempunyai 'udang di sebalik batu'. Mungkin jawapan itu sengaja diberi oleh 'lalat-lalat' itu kerana takut kelemahan Mukhriz didedahkan pada umum sedangkan mereka sebelum ini bermati-matian mendakwa Mukhrizlah paling 'best' dalam dunia?

Lebih malang lagi kata mereka, pihak yang mendewa-dewakan Mukhriz itu langsung tidak menjawab isu pokok berhubung kelulusan lesen balak berkenaan, sebaliknya lebih kepada menjaga kedudukan Mukhriz sebagai Menteri Besar Kedah supaya tidak digugat oleh empat Adun BN Kedah terbabit?

Pada pandangan penulis, sewajarnya pihak Kerajaan Negeri Kedah tampil dengan segera untuk menjawab isu pembalakan yang ditimbulkan oleh 6 orang Adun Kedah itu dengan jawapan berfakta, jelas dan tepat, tanpa berselindung.

Sepatutnya, pihak risikan UMNO dan Menteri Besar sendiri dapat menghidu gerakan untuk mendedahkan kelemahan kepimpinan Kerajaan Negeri itu lebih awal lagi supaya Mukhriz dapat bersedia memberikan jawapan secepat mungkin untuk maklum balas mengenai isu yang dibangkitkan.

Kata rakan-rakan penulis, itulah hasilnya bila Mukhriz dikerumuni oleh mereka-mereka yang tidak berpengalaman dan menganggap diri bijak selain gagal untuk memahami budaya orang Kedah yang sebenar.

Penulis tidak pasti sama ada untuk bersetuju dengan pandangan rakan-rakan penulis memandangkan Mukhriz dikatakan 'terlalu kuat' dan 'sangat hebat' di negeri tersebut. Namun sekiranya benar, penulis menunggu masa bapanya, Tun Dr Mahathir Mohamad 'merotan' Mukhriz kerana beliau pernah berjanji sedemikian ketika anaknya itu dilantik sebagai Menteri Besar, kan? - HajiSendu/Utaranews.com

Viewing all articles
Browse latest Browse all 6004