Bekas Menteri Tan Sri Syed Hamid Albar menyarankan Datuk Seri Najib Razak agar terus kekal sebagai Perdana Menteri dan tidak melepaskan jawatan selepas didesak hebat oleh bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.
Jelas Syed Hamid, desakan yang dibuat oleh Mahathir merupakan satu pandangannya terhadap kerajaan dan itu merupakan hak beliau untuk bersuara dalam sebuah negara yang demokrasi ini.
Syed Hamid berkata, Najib haruslah memikul jawatan yang disandang kerana ia merupakan tanggungjawab Perdana Menteri kepada negara walaupun terdapat suara sumbang yang mendesaknya meletak jawatan.
"Kumpulan tertentu boleh mendesak apa-apa yang dia nak. Itu demokrasi. Tapi kerajaan ada tugas yang dia nak pertahankan, Jadi kita dengar. Dalam demokrasi ini kita akan dengar macam-macam," kata Pengerusi Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) itu.
Syed Hamid yang mengulas lebih lanjut mengenai desakan Mahathir terhadap Najib untuk melepaskan jawatannya sebagai Perdana Menteri berkata desakan bekas perdana menteri itu tidak perlu dituruti.
Katanya, jika seseorang menuruti desakan orang lain untuk melepaskan jawatan yang disandang, ia merupakan pemimpin yang lemah kerana tidak menunaikan tanggungjawabnya yang diberikan.
"Itu hak Tun Mahathir. Saya sekarang memegang jawatan pengerusi SPAD , orang suruh saya berhenti. Takkan saya nak ikut cakap orang itu suruh berhenti.
"Saya ada tanggungjawab. Tapi itu hak dia dan saya tak boleh marah dia pula macam mana mereka marah saya," katanya.
Apa yang diperkatakan oleh Syed Hamid ini ada kewajaranya kerana sebagai seorang pemimpin yang mempunyai tanggungjawab mereka tidak mengalah dengan desakan yang diterima.
Bayangkan, jika setiap kali jawatan yang disandang itu digantikan dengan pemimpin yang baharu, bagaimanakah urusan kerja yang mempunyai masalah dapat diselesaikan jika diketuai oleh pemimpin baharu??
Oleh demikian, tindakan Najib untuk tidak melepaskan jawatan adalah langkah terbaik bagi Perdana Menteri itu meneruskan tanggungjawabnya dan menyelesaikan segala masalah yang sedang dihadapi negara-Utaranews.com